Monday, June 22, 2009

Perpaduan Melayu: Retorik Atau Realiti? (3)

"OK... since some are saying that UMNO is a racist party, let's say we let PR rule the country for a change"; kata seorang rakan pada saya.

"What guarantee can they give that they won't become as racist as they claim UMNO is, or perhaps even worse?"; sambung beliau. "Tengok Perak, tengok Pulau Pinang. Tu baru dua negeri..."

Tak lama selepas itu, seorang kawan lain memberi komen; "Kalau hang tengok blog atau FB pemimpin-pemimpin PR nih, rasa-rasa banyak bangsa apa yang dok tinggal komen? Yang DAP dengan majoriti Cina dan India. Yang PAS dan PKR, memang Melayulah".

Cebik beliau; "Maknanya paradigma perkauman PR pun dok tang tu jugak. Lebih kurang macam UMNO. Bangsa Malaysia apa kejadahnya!!!"

Saya tertarik dengan komen YB Datuk Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa iltizam 1Malaysia (dan mutakhirnya, Bangsa Malaysia) tak akan terlaksana andainya Melayu berpecah.

Juga seiring dengan bom yang dijatuhkan PR hari ini yang menolak bulat-bulat sebarang 'Unity Talk' antara PAS dan UMNO, beberapa imej hinggap di kepala.

Dalam banyak-banyak demonstrasi jalanan yang giat aktif sejak tahun 1998 hinggalah di pekarangan Istana Sultan Perak beberapa bulan lepas, raut-raut wajah dan warna kulit yang meloncat-loncat berdemo kelihatan 'familiar' saja...

Itu belum mengambil kira isu 'solat dua imam' yang mungkin sudah basi bagi kebanyakan basyar.

Namun bak kata Mursyidul Am PAS; "Suruh lupa? Senang je lupa? Adakah makna saya boleh lupa? Ingat, ini barang automatik. Kalau lupa, takdelah sejarah..."

Bukanlah menidakkan kepentingan bangsa lain atau untuk menindas. Andai masyarakat bumiputra bertelagah sesama sendiri, bagaimana bangsa lain mampu hidup makmur? Bagaimana mahu tingkatkan ekonomi andai yang terpampang di CNN atau BBC adalah foto-foto rusuhan yang menakutkan pelabur asing?

Secara peribadi, saya percaya Bangsa Malaysia: '1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara' sudah berada di landasan yang betul. Cuma strategi mencapainya perlu digarap dan diimplementasikan secara lebih berhemah. Bukan caca merba. Bukan tangkap muat. Bukan kejap nak kejap tak nak. :p

Agama Islam dan Bangsa Melayu yang merupakan majoriti majmuk adalah batu asas warisan temurun Malaysia.

Andainya batu asas itu sendiri goyah, binalah rekabentuk arkitektur canggih dengan berbilion kristal atau emas sekalipun. Hakikatnya kalau ada yang jentik sikit sahaja, mungkin seluruh binaan itu akan roboh berderai.

Jadi belajarlah dari sejarah!

Friday, June 19, 2009

Jom Buru 'Hantu'!

Semalam, selepas menonton episod siri 'Criminal Minds' (saluran 711) yang agak berat, saya menekan-nekan butang alat kawalan jauh dekoder dan ketemu siri 'Pemburu Hantu' yang disiarkan di Astro Ria.

Episod semalam berkisar tentang 'penyiasatan' di sebuah rumah kosong yang mana pemiliknya pernah dirogol dan kemudian dibunuh. Tak lama kemudian, orang kampung mula terlihat 'kelibat' wanita di rumah berkenaan pada waktu malam, duduk di tangga dan melambai-lambai pada yang lalu lalang.

Setelah hampir 1/2 jam berbaur 'footage' lakonan semula, penyiasatan dan wawancara, akhirnya pasukan pemburu hantu tersebut mencerna 'bukti' audio yang kedengaran seolah-olah seperti tangisan wanita.

Saya tak dapat mengelak dari melakukan perbandingan di antara 'Pemburu Hantu' (PH) dan 'Ghost Hunters' (GH) yang disiarkan di Star World.

Dalam mana-mana penyiasatan yang dilakukan atas nama 'saintifik', kajian dibuat bukan sahaja untuk mengiyakan sesuatu hipotesis atau teori, malah untuk menidakkannya juga.

Kalau setakat mencari poin untuk mengiyakan hujah, kita cuma akan melihat separuh dari gambaran yang lebih besar.

Sebagai contoh, PH terus saja berkesimpulan bahawa itu adalah 'tangisan wanita'. Tiada langsung usaha dilakukan untuk menyiasat kalau-kalau itu hanyalah bunyi burung hantu, serangga malam atau geseran pelepah kelapa pada bumbung zink!

Begitulah juga kebanyakan kita. Kita hanya cenderung mencari poin untuk mengiyakan apa yang kita percaya. Langsung tidak ada atau hanya sedikit usaha dilakukan untuk menidakkan kepercayaan kita. Seolah-olah hanya mahu menyedapkan hati bahawa kita bukannya gila dan apa yang dipercayai itulah kebenaran hakiki.

Kalau kita mempercayai hantu, kita gemar membaca Mastika atau Variasari. Kita menempelak sesiapa sahaja yang cuba menidakkan sesuatu kejadian bertemu hantu atau memberi penjelasan mudah yang tak ada sangkut paut langsung dengan hantu. Bila kita membaca artikel demi artikel mengenai 'lembaga hitam di pelabuhan' atau 'Mek Nah muntah pisau cukur' kita terus memujuk hati bahawa; "Haaaaa... kan... aku dah kata... semua ni betul!".

Padahal sumber cerita tersebut boleh dipertikaikan dan tiada sebarang siasatan dilakukan untuk menyiasat kesahihan cerita dengan lebih lanjut.

Mungkin sebab itulah iklan 'Skim Cepat Kaya' atau 'Buat Duit Dalam 3 Hari' sering didapati dalam majalah-majalah sebegini.

Sebab pengiklan tahu pembaca akan terus menelan bulat-bulat tanpa usul periksa!

Thursday, June 18, 2009

PPSMI: Penyelesaian, Bukan Retorik!

Saya akui kemahiran saya bermatematik adalah agak 'kureng'.

Mungkin kerana malas. Mungkin juga ketika itu saya tak nampak keperluan Matematik. Macam mana nak adaptasi E=MC2 dalam kehidupan seharian? Apa faedahnya 'mencari X' dalam algebra? Buat apa membengapkan kepala menghafal apa itu Integer, Geometri atau Kalkulus?

Sebab utama saya bertukar ke aliran Sastera sewaktu Tingkatan 4 adalah kerana markah Matematik untuk SRP yang 'ngam-ngam', walaupun saya boleh meneruskan pelajaran dalam aliran Sains.

Walau bagaimanapun, ianya jelas membuahkan hasil kerana saya berjaya terpilih mengikuti kursus Intensif English di PPP/ITM sebelum keputusan SPM diumumkan (batch saya merupakan yang terakhir mengikutinya) dan seterusnya menerima anugerah Pelajar Terbaik SPM aliran Sastera.

Oh... dan tentunya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom :)

Namun untuk rekod, bagi kedua-dua subjek Sains untuk SRP dan SPM, saya skor kepala 'A', ahaksss!!!

بيت الحكمة

Setelah saya mula berjinak-jinak dengan buku berbahasa INGGERIS kemudiannya, barulah saya menyedari betapa Matematik dan Sains berkait secara langsung dengan kehidupan. Setiap zarah, perjalanan alam semesta dan perubahan cuaca semuanya berdasarkan nombor. Malah ia merupakan satu-satunya bahasa alam yang konsisten di mana-mana sekalipun.

Kalau satu hari nanti ada mahkluk asing tiba di bumi, kita mampu berkomunikasi dengannya menggunakan Matematik, bukannya Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab! :)

Menonton dokumentari-dokumentari berbahasa INGGERIS juga membuatkan saya sedar bahawa Empayar Islam kurun ke 12-18 jugalah yang sebenarnya banyak mempelopori (dan mengembangkan) kaedah asas Sains dan Matematik yang digunapakai hingga sekarang. Dokumentari berbahasa Malaysia pun ada, tapi kebanyakannya berkisar tentang 'memburu hantu' atau menyebarkan teori propaganda Harun Yahya semata-mata... hahahahaha

Bagaimanakah Empayar Islam boleh bertindak menjadi katalis Sains dan Matematik ketika itu? Bagaimanakah Ibnu Sina mampu mengimport pengetahuan dari Yunani, India dan China untuk menyiapkan 14 jilid 'Al-Qanun fi al-Tibb' pada tahun 1025?

Pertama ialah dengan menyeragamkan penggunaan Bahasa Arab sebagai Bahasa Rasmi di segenap pelusuk empayar.

Keduanya, dan yang paling penting pada saya, ialah melalui strategi proaktif khalifah-khalifah ketika itu mewujudkan 'Gerakan Menterjemah' yang membawa masuk ribuan buku dan kitab berbahasa asing dari Rom, India, China, Persia, Mesir, Afrika Utara serta Greek dan menterjemahkannya ke Bahasa Arab.

The rest, as they say, is history...

Kita Mahu Penyelesaian, Bukan Retorik!

"Kalau hang tak ikut Gerakan Mansuhkan PPSMI demo hari tu, hang tak payahlah bising-bising mintak kami bagi cadangan"; begitu bunyi satu mesej dari seseorang yang menggunakan nama samaran, dilayangkan ke peti masuk mel di laman Facebook saya semalam.

Pertama-tamanya, pada saya, demonstrasi jalanan (aman atau sebaliknya) adalah tindakan bodoh yang lebih banyak mendatangkan kemudaratan dari kebaikan.

Keduanya ialah trend masyarakat Malaysia semenjak dua menjak ini yang cenderung 'menunjuk perasaan' tanpa memberikan sebarang cadangan atau komen konstruktif terhadap sesuatu isu.

Mungkin sebab itulah kita lebih gemar lagu berirama sentimental, lirik mendayu-dayu agaknya! Atau drama TV streotaip bergaduh berebut harta keluarga. Semuanya menunjukkan 'perasaan' seperti dah tak ada benda lain yang hendak ditunjuk!

Melayari laman web Gerakan Mansuhkan PPSMI, kita hanya boleh membaca entri-entri propaganda dan retorik seperti 'JANGAN BUNUH BAHASA IBUNDA', 'ORANG TIDAK ADA ASAS BUDAYA DAN BAHASA' atau 'MEMBUNUH MASA DEPAN BAHASA MELAYU'.

Namun apa cadangan konstruktif yang diajukan oleh Gerakan ini bagi menangani kelemahan anak bangsa dalam Bahasa Inggeris dan seterusnya dalam matapelajaran Sains dan Matematik?

Entahlah... tak ada pula terpampang dalam laman web berkenaan yang pada saya tak ubah seperti 'publicity stunt' dan media untuk mempopularkan individu-individu tertentu.

Cadangan Dhaif Saya

(a) Wujudkan Gerakan Menterjemah Nasional (GEMA) seperti mana yang dipelopori oleh Khalifah Abbasiyyah sewaktu zaman kegemilangan Empayar Islam dahulu.

(b) Gerakan ini boleh dinaungi oleh YAB Perdana Menteri sendiri dan digerakkan oleh YB Menteri Pelajaran. Jawatankuasa utama terdiri dari Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Negara, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, ilmuan, sasterawan dan penerbit-penerbit buku utama.

(c) Seterusnya kelompok-kelompok penterjemah harus diwujudkan, di mana setiap kelompok akan menterjemah subjek atau bidang yang sesuai dengan kepakaran masing-masing, termasuklah Sains, Matematik, Sastera Fiksyen, Sastera Bukan Fiksyen dan sebagainya.

(d) Menjenama dan memasarkan hasil-hasil karya terjemahan ini secara profesional bukan sahaja di Malaysia malah segenap pelusuk dunia yang memiliki komuniti berbahasa Melayu.

(e) Melakukan audit dan kajian keberkesanan setiap 12 bulan bagi mengenal pasti ruang yang boleh diperbaiki.

(f) Peruntukan bajet yang sewajarnya (dan logik) oleh Kerajaan bagi membiayai projek ini.

Saya dengan rendah diri juga menawarkan khidmat dan kepakaran sekadar termampu demi merealisasikan GEMA.

Sebenarnya saya sudah muak dengan isu. Dengan demo jalanan. Dengan retorik. Dengan mesyuarat-mesyuarat yang panjang berjela.

Masanya telah tiba untuk bertindak, bukan semata-mata cakap kosong atau 'menunjuk' perasaan.

Jadilah ummah yang progresif, bukannya yang asyik 'menunjuk' atau 'tertunjuk'!

Tuesday, June 16, 2009

1Malaysia: Satu Penilaian Dhaif

Sekitar bulan Mac 2009 dahulu, seorang Hamba Allah cuba 'menerangkan' pada saya 'apa dia' yang dikatakan 1Malaysia:

"1Malaysia ni maksudnya kita kena sokong pemerintah. Dari dulu sampai sekarang kita cuma ada 1 pemerintah. Kita kena tolak yang lain. Inilah sebenarnya yang dikatakan 1Malaysia... bukannya sokong macam-macam parti sampai berpecah belah!"

Memandangkan saya berada di sana hanya sekadar 'menumpang' seorang rakan, saya malas hendak bersuara seperti kebiasaannya.

Satu perkara yang jelas - sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan sesuatu konsep baru harus memberi penjelasan secukupnya seiring dengan zahirnya konsep berkenaan. Jika tidak, akan ada beberapa Mamat Minah yang 'sesat dalam terjemahan' dan memberikan intepretasi sendiri mengenainya!

Akhirnya semalam, 15 Jun 2009 (juga hari kelahiran anak penakan saya yang baru, Nor Eleena bt Amli Mahfuz), YAB Perdana Menteri memperjelaskan apa sebenarnya yang terkandung dalam krim minda beliau bila berbicara mengenai gagasan 1Malaysia.

“1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.”

1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.

Teras-Teras Perpaduan:

*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.

*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara

*Keadilan Sosial.

Nilai-Nilai Aspirasi merangkumi:

*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.

*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.

*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.

*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Menurut YAB Perdana Menteri lagi;

"1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia".

Mungkin masih terlalu awal bagi saya memberikan komen dhaif secara panjang lebar, namun berikut disenaraikan beberapa lonjakan refleksi dalam kepala terhadap konsep ini:

(a) Dasarnya saya bersetuju dengan bab 'penerimaan keunikan kaum lain seadanya'. Kita tidak seharusnya melenyapkan terus identiti berbilang bangsa semata-mata untuk menzahirkan secara paksa satu bangsa yang 'baru'. Mungkin kita akan menjadi 'satu' juga akhirnya, namun ia haruslah dijana melalui evolusi natural dan bukannya secara hibrid.

(b) Walau begitu, perlu mula ada perpindahan fokus dari politik assabiyah yang dilaksanakan sekarang kepada sesuatu yang mampu merangkumi semua kaum - terutamanya di kalangan pemerintah dan pembangkang. Mungkin juang bangsa yang kini diutamakan oleh parti-parti politik harus diletakkan pada pundak persatuan-persatuan Bukan Kerajaan atau NGO sahaja.

(c) Sekolah-sekolah kebangsaan harus dimansuhkan secara berperingkat. Identiti kaum pula boleh diwariskan pada generasi muda melalui pembangunan matapelajaran-matapelajaran baru yang mana kelasnya hanya dihadiri oleh kaum berkenaan. Sebagai tambahan, ajarkan juga latarbelakang, kepercayaan dan cara hidup kaum lain untuk mengikis stereotaip temurun.

(d) Terma 'Melayu', 'Cina', 'India', 'Sikh', 'Kadazan', 'Dayak' dan sebagainya harus menjadi prioriti kedua terutamanya bila berbicara tentang 'national interest' dan segala macam yang menjurus kepada 'Rakyat Malaysia' secara umumnya.

Impian dan aspirasi saya dahulu hingga kini masih kekal serupa.

Saya mengimpikan satu hari nanti bilamana Abu tidak lagi akan mengatakan "Aku Orang Melayu" atau Ah Seng, "Aku Orang Cina" dan Muthu, "Aku Orang India".

Tetapi ketiga mereka akan bersatu senafas senada mengatakan "AKULAH ORANG MALAYSIA"!

Tuesday, June 9, 2009

Eurotrip 2009: Ringkasan Eksekutif

Nota: Posting ini saya tulis khusus untuk Warga Relexjap dan beberapa laman Yahoo!Groups yang saya sertai. Mungkin sesuai juga dipos ke blog sebagai panduan isi kandungan keseluruhan siri Eurotrip 2009. Enjoy!

------------------------------------------------

Sejak siri 'Hidup Di Luar Negeri (HDLN)' mula-mula tersiar di Relexjap pada tahun 2001 dahulu, ramai sebenarnya yang meminta saya menulis 'yang macam tu' kembali.

HDLN merupakan rentetan pengalaman, travelog dan observasi ketika saya menuntut di United Kingdom sekitar tahun 1990-1992.

HDLN banyak meninggalkan kenangan manis buat saya. Mengenalkan diri dengan ramai insan-insan yang kini telah bergelar sahabat, walaupun kebanyakannya hanya terhad di alam maya. Dan membuka banyak peluang-peluang yang membawa saya ke mana saya berada sekarang ini.

Sama ada anda peminat HDLN, gemar melancong mencari adventur di tempat orang, ataupun sekadar 'curious' ingin tahu - dengan segala hormatnya saya menyertakan capaian untuk setiap episod siri EUROTRIP 2009 seperti yang tersiar di blog saya sekarang.

Walau ianya tidaklah 'terperinci' seperti HDLN, namun keseluruhan siri telah ditulis dengan gaya dan 'ruh' yang saya kira telah membuatkan HDLN digemari. Malah setiap entri disertakan foto-foto dari setiap lokasi yang dilawati - diedit sepenuhnya menggunakan Adobe Photoshop dan MacBook :)

Cuma klik mana-mana yang anda ingin baca.

1) PROLOG: Bagaimana kami mampu melakukannya.

2) GREAT BRITAIN (Bhg 1): Menjejakkan kaki kembali di bumi Great Britain setelah lebih 10 tahun. Menghilang lelah di Rochester.

3) GREAT BRITAIN (Bhg 2): Merayau sekitar London - menapak Tower Bridge, Tower of London, Harrods, Westminster, Trafalgar Square dan Milennium Dome.

4) GREAT BRITAIN (Bhg 3): Penjelajahan 'countryside' ke Leeds Castle, Canterbury dan Ramsgate.

5) GREAT BRITAIN (Bhg 4): Menghirup angin pantai hinggalah sejuk tanah tinggi dari Tonsbridge, Brighton ke Devil's Dyke.

6) GREAT BRITAIN (Bhg 5): Merentas mesin masa ke zaman 'medieval' Britain di Winchester, Stonehenge dan Bath.

7) GREAT BRITAIN (Bhg Akhir): Kembali ke London - berpeleseran di Buckingham Palace, Hyde's Park, Malaysia Hall (yang baru), Kensington Palace dan Chinatown.

8) FRANCE (Hari 1): Merentas Selat Inggeris dari Dover ke Calais, menjejak Eiffel Tower hingga ke puncak dan bagaimana hampir terkurung dalam kompleks letak kereta di Andilly :p

9) FRANCE (Versailles): Kegaguman akan keindahan (dalam masa yang sama, kejelekan dengan kekayaan eksesif) Château de Versailles.

10) FRANCE (Hari 2): Merayap sekitar Paris - dari persekitaran gothik Cathédrale Notre Dame de Paris, rasa kekerdilan di Musée du Louvre, meninjau 'roundabout' paling gila di dunia di Arc de Triomphe dan minum petang di Champs-Élysées.

11) FRANCE (Hari Terakhir): Menjejak bandar Troyes yang dikatakan berbentuk seperti sebuah gabus ('cork') champagne dan bandar Dijon yang digelar ibu negara 'mustard' sedunia.

12) SWITZERLAND (Jungfrau 1): Pengalaman pertama berhadapan dengan 'gergasi-gergasi' Swiss Alps ketika memasuki daerah Jungfrau.

13) SWITZERLAND (Jungfrau 2): Rentetan rasa surreal di kawasan pedalaman, menjejak tanah tinggi berlatar gunung bersalji di pekan-pekan Interlaken, Grindelwald, Trummelbach dan akhirnya menaiki kereta kabel ke pekan Mürren yang terletak pada ketinggian 1,650m dari aras laut. Semata-mata mencari salji, ahaks!

14) SWITZERLAND (Luzern): Bergambar dan membuang masa sekitar bandar Luzern yang terkenal dengan jambatan bengkok (sini pun lagi awal wujud jambatan bengkok!) Kapellbrücke.

15) GERMANY: Peristiwa 'misterius' ketika memasuki kawasan Belantara Hitam (Black Forest) yang gelap dan menggerunkan, dari pekan-pekan terpencil Hexenloch ke Schiltach dan akhirnya bermalam di Saarbrücken.

16) LUXEMBOURG: Melewati 'Negara Kisah Dongengan' (Fairy Tale Land) dari Luxembourg City hinggalah ke Château de Vianden di, errrr... Vianden.

17) NETHERLANDS (Amsterdam 1): Bagaimana hampir melanggar penunggang basikal di Amsterdam, melilau mencari tempat penginapan dan akhirnya ketemu antara kejutan terbesar sepanjang kembara ini.

18) NETHERLANDS (Amsterdam 2): Berjalan dalam kekotoran dan 'kekotoran' Amsterdam serta pengalaman dikurung dalam sebuah restoran kebab.

19) NETHERLANDS (Kinderdijk dan Lisse): Melawat kincir-kincir angin kurun ke 17 di Kinderdijk dan taman bunga terbesar di dunia, Keukenhof di Lisse.

20) BELGIUM: Melepas lelah di pekan Bruges dan menikmati keenakan coklat Belgium.

21) PERJALANAN PULANG: Kelewatan feri dari Calais-Dover kerana cuaca buruk, merentas laut bergelora DALAM cuaca buruk dan pengalaman Adam Jefril, anak bongsu saya dikuarantin selama 12 jam di Hospital Sg Buloh setiba di Malaysia kerana mempunyai simptom virus A(H1N1).

22) EPILOG: Beberapa observasi dari Eurotrip 2009 dan penghargaan.

23) DI BELAKANG TABIR: Kenali ahli kembara Eurotrip 2009 dan tanggungjawab setiap dari mereka!

Untuk sebarang komen, harap dapat ditintakan di blog saya atau emel saya secara terus. Jika anda mempunyai laman Facebook, 'add' saya di sini.

Seperti mana HDLN telah menginspirasikan pembaca untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, adalah menjadi harapan saya agar siri Eurotrip 2009 ini akan menginspirasikan anda untuk merancang dan melangsungkan sendiri kembara yang identikal sekaligus meluangkan masa berkualiti demi merapatkan silaturrahim kekeluargaan.

Selamat membaca dan ketemu lagi di kembara berikutnya!

DAMAI oleh Jaafar Taib

Boleh dikatakan semua penggiat seni tanah air yang berkecimpung di bidang lukisan, visual, kartun dan animasi mengenali siapa gerangan Jaafar Taib.

Atau setidaknya mengasosiasi beliau sebagai pengasas dan penerbit Gila-Gila, majalah satira pertama di Malaysia - yang mana kini saya berbangga menjadi sebahagian darinya :)

Saya berpeluang mengenali Encik Jaafar sekitar tahun 2001 dahulu, ketika saya cuba 'pitch' siri 'Hidup Di Luar Negeri (HDLN)' untuk diterbitkan oleh Creative Enterprise, syarikat di mana beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan. Pertemuan dilangsungkan di restoran Monte's, Bangsar Shopping Centre yang kemudiannya menjadi lokasi mesyuarat 'rasmi' bagi saya dan beliau dari masa ke semasa.

Ketika pertemuan tersebut (kebetulan jatuh pada hari pertama saya memandu Proton Waja yang baru dibeli), Encik Jaafar mulanya tak banyak bercakap. Mungkin kerana kami belum saling mengenali dan saya masih dalam 'pemerhatian' penuh syak beliau!

Perbualan kami menjurus dari satu topik ke satu topik dan kemudian kembali ke topik asal. Melompat-lompat. Bila tiba pada topik mengenai Dato' Lat yang menghasilkan siri animasi 'Kampung Boy', saya cuba-cuba menebak tanya sekadar untuk mengetahui apa topik perbualan kegemaran beliau.

"Encik Jaafar ada apa-apa rancangan untuk buat filem animasi?"; tanya saya.

Tiba-tiba seperti deru air empangan melimpah keluar, beliau menceritakan tentang kisah anak gajah yang dalam pengembaraan di Hutan Pahang, karakter-karakter haiwan yang ditemui dalam perjalanan, lagu-lagu rakyat yang dinyanyikan, plot, klimaks, anti-klimaks, pendek kata segalanya dari A sampai Z.

"Kalau saya nak buat filem animasi ni, ia mesti sebagus The Lion King"; kata beliau merujuk kepada filem animasi 'masterpiece' Disney.

'Fast forward' 9 tahun kemudian. Saya bertemu Encik Jaafar di penghujung minggu lepas. Sebaik tiba, beliau menghulurkan dua buah buku bersaiz buku 'coffee-table' - satu berkulit keras ('hardcover') dan satu lagi berbentuk 'paperback'. Di hadapannya terpampang tajuk 'DAMAI'.

Ketika itu saya menyedari bahawa itulah 'cerita anak gajah' yang beliau khabarkan sewaktu pertemuan pertama kami dahulu!

Selain sarat dengan ilustrasi berkualiti tinggi dan prosa karangan Encik Jaafar sendiri, buku setebal lebih 120 muka berwarna ini menyertakan peta perjalanan Damai merentas Hutan Pahang, lakaran-lakaran awal beliau (beserta nota), lakaran 'step-by-step' serta senarai maklumat spesis haiwan yang menjadi karakter-karakter dalam buku ini.

Inilah 'labour of love' Encik Jaafar selama lebih dari 10 tahun dan ianya jelas terpapar dalam perincian setiap ilustrasi yang ada.

DAMAI telah dilancarkan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa 2009 tempoh hari dan ketika saya menulis entri ini, akan memasuki pasaran pada bila-bila masa sahaja.

Namun memandangkan ia berpotensi mungkin menjadi salah satu karya seni legenda di Malaysia kelak, sesiapa yang ingin mendapatkannya dengan kadar segera bolehlah menghubungi Creative Enterprise secara terus di (03)22824970. Versi kulit keras berharga RM76.90 manakala versi 'paperback' dijual pada RM49.90.

"Jadi apa langkah DAMAI berikutnya?"; tanya saya.

"Filem animasi!"; jawab Encik Jaafar dengan bangga.

Trust me, he meant it!

Sunday, June 7, 2009

Eurotrip 2009: Epilog

Saya gemar berkongsi pengalaman, di samping meninta sebarang observasi terhadap sesuatu agar boleh dirujuk semula di kemudian hari.

Sewaktu menuntut di Great Britain sekitar 1990-1992 dahulu, aerogram (ketika itu emel masih belum dikomersilkan!) ke kampung halaman penuh dengan cerita tempat-tempat yang dilawati. Ibu saya mengatakan yang ianya begitu deskriptif hinggakan dia boleh pula menyampaikan cerita-cerita saya seolah-olah dia sendiri yang berada di U.K!

Siri 'Hidup Di Luar Negeri (HDLN)' yang tersiar di e-grup Relexjap pada tahun 2001 - mengisahkan tentang segala pengalaman, pandangan dan rentetan travelog ketika bergelar 'pelajar U.K.' - juga menempa sejarah dan mercu tanda dalam hidup. Setidak-tidaknya secara peribadi.

Dari HDLN kemudiannya menjurus kepada 'Dari Sik Ke Stoke, U.K.' (2001-2002) di Gila-Gila, disusuli buku 'coffee-table' CHANTEK (2007) yang diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan terbaru sekali, buku panduan 'Memulakan Perniagaan' (2009) terbitan Smidec. Itu belum dihitung segala entri blog, artikel atau komen panjang yang telah dinukilkan melalui web atau media konvensional.

Pokoknya, saya gemar menulis dan gemar berkongsi pengalaman. Dalam proses tersebut, saya bertuah pula kerana ditemukan ramai rakan-rakan - baik secara bisnes, peribadi atau kenal 'gitu-gitu' - yang banyak mewarnai kancah hidup saya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Kecenderungan itulah juga yang mendorong saya menulis siri 'Eurotrip 2009' - kembara keluarga merentas 7 negara Eropah dari 28 April 2009 hingga 12 Mei 2009. 8 orang Malaysia. 7 negara Eropah. 3,000km pemanduan.

Secara ringkas, berikut adalah beberapa observasi umum yang digarap dari kembara berkenaan.

(a) Berbanding 20 tahun lalu, Malaysia kini kian dikenali di serata dunia. Orang-orang asing yang ditemui sepanjang kembara ini dengan tepat meneka bahawa kami dari Malaysia walaupun tiada sebarang 'patch', logo dan lencana Jalur Gemilang di mana-mana pakaian atau bagasi yang dibawa. Malah ada yang boleh menegur ramah menggunakan Bahasa Malaysia sendiri - 'Selamat datang', 'Terima kasih' atau 'Hati-hati'! Untuk ini, kita harus berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri yang dikagumi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mempromosikan negara hingga dikenali seantero dunia.

(b) Bukan semua yang datang dari Barat itu buruk dan yang berasal dari Timur itu baik. Imej Malaysia sebagai negara Islam boleh dipertingkatkan andai rakyat negara ini lebih cenderung beradab dengan menuturkan 'Tolong...' (please) dan 'Terima kasih...' (thank you) sesama kita. Bilakah kali terakhir anda mengucapkan 'Terima kasih' kepada gadis kaunter di Giant atau mamak maplay yang menghidangkan teh tarik? Atau anda tidak pernah pun?

(c) Kekayaan dan gila kuasa dari golongan pemerintah yang terlalu eksesif bilamana rakyat sedang menderita kebuluran dan kemiskinan akan membawa kepada bencana, seperti yang terjadi ketika French Revolution (1789-1799). Revolusi yang sama juga menunjukkan andai mereka yang menggulingkan kerajaan tadi sebenarnya cakap tak serupa bikin, tak reti buat kerja atau hanya sibuk bermain isu, mereka akhirnya akan menerima nasib yang sama seperti kerajaan yang mereka digulingkan.

(d) Bahana teroris Muslim selepas September 11 2001 masih terasa, namun ianya masih terhad hanya di bandar-bandar besar atau kaunter-kaunter imigresen sahaja. Perkauman dan prejudis ada di mana-mana, malah di Malaysia dan di kalangan orang Islam sendiri. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab mereka yang masih boleh berfikir secara rasional tanpa di dorong emosi untuk memperbetulkan tanggapan salah ini.

(e) Kembara ke Eropah sebenarnya tidaklah semahal yang dijangka. Ataupun semahal yang sering ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan. Dengan perancangan aturcara dan bajet yang terperinci (serta 'mengorbankan' sedikit kesenangan dan niat membeli-belah yang ekstensif!) anda boleh melakukan segalanya sendiri berpandukan maklumat yang boleh di dapati di laman-laman web atau buku-buku kembara. Laman Wikipedia atau buku-buku terbitan Lonely Planet adalah yang terbaik untuk bermula.

(f) Kembara yang ekstensif seperti Eurotrip 2009 memerlukan kesabaran dan daya toleransi yang tinggi. Jika anda berhasrat melakukannya, pilihlah rakan, ahli keluarga dan 'kamcheng' yang betul-betul sekepala. Jika tidak, keseluruhan kembara mungkin dicemari dengan masam muka, pergaduhan dan perselisihan pendapat yang ekstrem. Saya beruntung kerana mengembara bersama keluarga yang kesemuanya kreatif, 'fun' dan tahu tanggungjawab masing-masing. Perselisihan tetap ada namun sepantas manapun ia mencelah sepantas itulah juga ia berlalu.

(g) Keluarga adalah segalanya! Tiada yang lebih menyeronokkan dari meluangkan masa dan berkongsi pengalaman baru bersama mereka. Hati menjadi lebih puas bila ketika menikmati sukses Eurotrip 2009 yang mana perancangannya dilakukan sendiri oleh keluarga, dari keluarga, untuk keluarga.

Di kesempatan ini, saya mewakili kelapan-lapan ahli kembara Eurotrip 2009, ingin menghulurkan kalungan penghargaan kepada:

* Ibubapa/Mertua kami - Mohammed Hashim dan Zubaidah Sudin, Tuan Hashim Tuan Mohammad dan Tengku Zanariah Tengku Mohd Salleh & Ishak Ahmat dan Fatimah Yahya kerana berkat pengorbanan dan kasih sayang mereka kami bertuah berpeluang mengagumi keindahan alam ciptaanNya.

* Adik beradik, cahayamata dan sanak saudara yang tidak mengikuti kembara ini kerana tugas, jadual dan kondisi keluarga (salah seorang darinya sedang sarat menunggu masa menimang 'ahli baru' dalam keluarga). InsyaAllah, kita usahakan agar kalian dapat ikut dalam kembara seterusnya di masa hadapan.

* Rakan-rakan dan taulan yang banyak memberikan dorongan, tips, ide dan pandangan untuk menyempurnakan lagi perancangan kembara Eurotrip 2009 ini.

* Klien dan majikan yang telah bermurah hati meluluskan permohonan cuti tanpa gaji atau untuk 'menghilangkan diri' dari tugasan selama 2 minggu.

* Sasterawan Negara A. Samad Said di mana bukunya 'Warkah Eropah' (1991) merupakan inspirasi dan acuan utama untuk saya menghasilkan siri HDLN dahulu dan seterusnya siri Eurotrip 2009 sekarang. Mungkin siri-siri nukilan ini adalah daif berbanding 'grandeur' dan perincian dalam buku Pak Samad kerana lagipun saya masih belajar dan terus belajar dari mentor saya tersebut.

* Tony Fernandes dan AirAsia X yang sebenarnya merupakan katalis dalam merealisasikan ide asal Eurotrip 2009. Tanpa penerbangan kadar murah KL-London, tidak mungkin kami boleh terfikir walau dalam mimpi yang paling liar sekalipun bahawa kami berlapan akan menderap kembara sebegini.

* Akhir sekali namun bukan yang terakhir, Alhamdulillah kepadaNya yang mengizinkan kami menelusuri keindahan alam ciptaanNya ini dengan selamat, sejahtera, girang dan penuh keinsafan.

Seperti mana HDLN telah menginspirasikan pembaca untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, adalah menjadi harapan saya agar siri Eurotrip 2009 ini akan menginspirasikan anda untuk merancang dan melangsungkan sendiri kembara yang identikal sekaligus meluangkan masa berkualiti demi merapatkan silaturrahim kekeluargaan.

Tak semestinya anda harus ke Europe. Berparawisatalah ke mana sekalipun. Redang atau Langkawi. Thailand atau Indonesia. Rusia atau China. Yang pentingnya anda meluangkan masa bukan sahaja bersama keluarga malah benar-benar menghirup udara menderap jalanan tempat-tempat orang ini.

Kerana akhirnya anda mungkin memaklumi bahawa semua insan di dunia ini zahir dan bathinnya adalah satu - baik dari segi spiritual, biologi, fizik atau kimia :)

Juga bahawasanya dunia ini lebih luas dari 'comfort zone' seharian di rumah, kampung, pejabat dan bandar yang anda sedang diami.

Jumpa lagi di kembara berikutnya!

Tuesday, June 2, 2009

Eurotrip 2009: Di Belakang Tabir

Selain perancangan yang strategik, tidak dinafikan bahawa ahli pasukan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan sesuatu ekspedisi.

Eurotrip 2009 juga tidak terkecuali.

Ide asal kembara ini bermula dengan agak pantas tanpa dirancang (membuktikan fleksibiti juga penting) apabila kadar tambang murah ke United Kingdom diumumkan oleh AirAsia X sekitar November 2008.

Malah sedar-sedar saja Nani sudah ada di hadapan komputer melakukan tempahan pada hari sama berita dari penerbangan tambang murah terbaik dunia itu diumumkan.

Segala perancangan dan persediaan seterusnya bergerak 'steady' dari situ. Komunikasi antara ahli pasukan selalunya adalah melalui perisian Yahoo! Messenger atau Skype, terutamanya dengan Eman yang sedang bekerja di United Kingdom.

Dari rancangan asal untuk menapak sekeliling Great Britain, ia berkembang kepada lawatan menggunakan EuroRail ke Paris di hujung minggu, kemudian cadangan diusulkan untuk menambah Belgium dan Netherlands hinggalah akhirnya kepada menyewa kereta menjejak 6 destinasi di Eropah - Great Britain, France, Switzerland, Luxembourg, Netherlands dan Belgium. Keputusan singgah di Germany pula dibuat hampir spontan di saat-saat akhir.

Namun segala rancangan akan kekal tinggal rancangan tanpa dedikasi dan komitmen setiap ahli pasukan.

Tengku Zahasman, Jurutera I.T. (Ketua Pasukan 1): Boleh dikatakan hampir kesemua rancangan, pelaksanaan dan kreativiti dilakukan oleh Eman dengan sumbangan seimbang dari kembarnya Elan. Daripada menguruskan penginapan, tiket feri, mendapatkan alatan Global Positioning System (GPS), membeli insurans perlindungan untuk memandu di Eropah, menentukan bajet sehinggalah urusan sewa beli kereta - hampir kesemuanya adalah hasil dedikasi beliau dan Elan. Kiranya kenalah tabik spring kepada kedua kembar ini. Eman juga bertindak sebagai jurugambar utama dengan kamera Canon EOS 1000D miliknya. Juga merupakan antara dua ahli pasukan yang mempunyai International Driving Permit (IDP) selain Asrul. Merupakan penyunting untuk klip video 'Eurotrip 2009: Dance With Us'.

Tengku Zahaslan, Jurutera Sains Nuklear (Ketua Pasukan 2): Dengan senaskhah buku 'Western Europe' terbitan Lonely Planet, Elan merupakan perpustakaan bergerak untuk kembara ini. Apa saja maklumat tentang negara, tarikan pelancongan, penginapan dan 'trivia', rujuk saja padanya dan dia akan mencari dalam kitab tadi. Beliau lah yang mula-mula mendraf aturcara dan bajet kasar keseluruhan Eurotrip 2009 malah 95% darinya telah diimplimentasi mengikut draf asal tersebut. Juga bertindak sebagai jurukamera dan juruvideo terutamanya untuk klip video rasmi dan pemandu kereta.

Tengku Hazlina, Pengurus Perbankan (Pengarah Seni, Jurumasak, Penjaga Waktu dan Juruvideo): Nina merupakan Pengarah Seni bagi sesi-sesi fotografi, menetapkan lokasi, sudut dan cara setiap ahli pasukan seharusnya 'berposing'. Selain menyediakan bekalan untuk mengalas perut ketika siang dan memasak hidangan sempurna ketika pulang dari setiap ekspedisi harian, Nina juga bertindak sebagai jam loceng hampir di setiap pagi untuk mengejutkan ahli-ahli lain yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Beliau mengoperasikan satu-satunya camcorder digital dalam kembara berkenaan.

Tengku Hazlini, Pengurus Pentadbiran (Pengarah Seni, Jurufoto dan Jurumasak): Seperti juga kakak kembarnya Nina, Nani dengan lantang akan memarahi mana-mana ahli pasukan yang tidak 'berposing' seperti yang diminta ketika sesi fotografi di setiap destinasi. Berkesempatan memasak dan menghidangkan Kari Ayam Resepi Rahsia beliau ketika kembara ini.

Ahmad Izadique, Konsultan I.T. (Pemandu, Jurufoto, Pengawal Suasana dan Penasihat Nutrien): Zadique yang sentiasa 'cool' bertindak sebagai salah seorang pemandu kereta dan jurufoto, terutamanya yang berkaitan perincian panorama sesuatu lokasi. Dalam beberapa keadaan, Zadique merupakan 'thermostat' yang mendinginkan sebarang bahang panas yang terbit dari mana-mana ahli pasukan apabila keletihan menyebabkan perasaan marah mula timbul. Juga merupakan ahli yang memastikan setiap makanan memiliki zat, vitamin dan protein yang cukup agar ahli pasukan bertenaga untuk meneruskan ekspedisi.

Asrul Muzaffar, Konsultan Pemasaran (Pemandu, Peninta Prosa, Jurufoto dan Penyunting Foto): Memiliki IDP yang sah selain Eman, juga merupakan tukang rekod hampir keseluruhan kembara untuk diabadikan dalam bentuk prosa yang boleh dibaca turun temurun kelak. Walaupun berpengalaman luas dalam bidang Pengurusan Majlis, tapi dari awal telah menegaskan bahawa buat pertama kali beliau ingin 'sit back and relax' setelah kepala makin bengap 'buat event, buat event'. Menggunakan perisian Adobe Photoshop dan komputer MacBook, Asrul juga telah melakukan suntingan foto-foto kembara mengikut kacamata dan kreativiti beliau.

Alyssa Sofea, Pelajar (Model dan Jurufoto): Alyssa akan diminta menjadi model bila saja seseorang diperlukan untuk 'personalise' potret mana-mana lokasi yang dilawati. Juga arif dalam mengendalikan kamera canggih kepunyaan Eman. Kebanyakan dari 'footage' video 'Dance With Us' adalah hasil sentuhan kepakaran beliau. Selain itu, merupakan teman bergaduh Adam, adik lelakinya yang 'spoiled brat'.

Adam Jefril, Pelancong (Juru Komedi dan Juru Merengek): Adam merupakan satu-satunya ahli pasukan yang benar-benar boleh digelar pelancong. Bila nak tidur, dia tidur. Bila nak melompat, dia lompat. Bila nak makan, dia makan. Tapi beliau memberikan sentuhan komedi dan 'warmth' bila saja mana-mana ahli pasukan perlukan hiburan setelah penat berekspedisi - itupun bila beliau tak merengek meminta itu ini atau bergaduh dengan Alyssa, kakaknya.

Susan Minah, Alatan GPS (Penunjuk Arah): Saya kira Minah yang dilahirkan dengan nama 'Garmin Nüvi 255W' ini perlu diberi pujian kerana dengan sabar dan cekap memberikan arahan tunjuk-jalan ke mana-mana saja lokasi yang ingin dilawati. Walaupun ada ketika kami tak mengikut arahannya, beliau mudah saja memberikan jalan alternatif agar kami tidak sesat dan membuang masa.

Sebenarnya tugasan-tugasan di atas tidaklah ditetapkan sebelum mahupun ketika kembara Eurotrip 2009 berlangsung.

Semuanya datang dengan sendiri, di mana masing-masing 'rise to the occasion' dengan penuh komitmen untuk memastikan segalanya berjalan lancar dan keseluruhan kembara ini sukses!!!

Monday, June 1, 2009

Eurotrip 2009: Perjalanan Pulang

"Eloklah dah nak balik pun"; kata Nani di sebelah pada saya.

Kami dalam perjalanan dari Bruges, Belgium ke Calais, France untuk menaiki feri pulang ke Great Britain pada sebelah petang 11 Mei 2009, hari ketigabelas Eurotrip 2009. Seseronok manapun kembara ini, setelah hampir 3,000km, kepenatan pasti menyelinap juga akhirnya.

"Katalah ada dua-tiga negara lagi yang kita nak singgah, errrr.... tak taulah!!!"; sambung beliau lagi.

"I agree. But Alhamdulillah the whole journey was so smooth"; kata saya yang sedang memandu.

Mungkin ada satu dua 'hiccups' sepanjang Eurotrip 2009 namun ianya bukanlah insiden 'major' malah agak melucukan bila dikenang semula.

Agaknya mulut saya terlebih masin. Atau kata orang, 'it ain't over till it's over'. Sebaik menghampiri Pelabuhan Calais, kereta yang dipandu terasa bergoyang-goyang ditiup angin kuat. Malah pintu kereta terpelahang terkangkang dipukul angin sebaik saya membukanya di hentian Services di kawasan ini.

Ketika berbaris menaiki feri, pengumuman melalui corong pembesar suara mengatakan bahawa feri akan sejam kelewatan oleh kerana angin kuat dan cuaca yang tidak begitu baik. Hendak berjalan di sekitar pun serasa seperti mahu terbang ditolak angin. Tapi saya kagum dengan khidmat pelanggan pelabuhan yang mana pegawai-pegawainya menghampiri setiap kereta dalam barisan untuk memohon maaf atas kelewatan tersebut.

Sebaik sahaja Feri P&O yang dinaiki mula belayar, ombak tinggi dan angin kuat membuatkan segala manusia di dalamnya terhoyong hayang, secara literal. Mereka yang mabuk laut tersandar terbaring di lantai. Dalam tandas pula, ada yang berlutut di sebelah mangkuk buangan menunggu memuntahkan isi perut. Yang berjalan sambil membawa minuman terpaksa lebih berhati-hati untuk tidak menumpahkannya. Sekali tu, kapal melambung menjunam dihempas ombak dan sekaligus Nani yang memang sedang kepeningan terus mengirimkan SMS 'wasiat' kepada rakan-rakannya di pejabat :)

Kembali ke dek parkir bila Pelabuhan Dover mula dihampiri, saya dapati cermin kereta di hadapan saya pecah terkena besi penghadang yang mungkin menghentamnya sewaktu pelayaran tadi. Puuhhh... andaikan kami terawal seminit dan berada di tempat kereta berkenaan...

Ingatkan segalanya dah berakhir, rupanya memandu kereta dari Dover ke Rochester juga terhoyong-hayang dipukul angin malah rasanya lebih teruk berbanding di Calais.

Kami menarik nafas lega bila akhirnya tiba juga di rumah Eman. Rasa sayu bila mengeluarkan bagasi dari kereta dan mengemas-ngemasnya sekadar yang patut. Karpet berbau tumpahan sambal ikan bilis yang 'mengharumkan' seluruh kereta. Biarlah Budget Car Rental menguruskannya!

Saya tidak betul-betul berehat. Pakaian dan barangan perlu dikemaskan dalam beg kerana esoknya kami harus keluar bergegas ke lapangan terbang seawal jam 6 pagi. Sempat juga bergambar dengan Eman dan rakan-rakan serumahnya yang baik hati, peramah dan sabar dengan penambahan 8 orang isi rumah selama 2 minggu tersebut!

Keesokan paginya, 12 Mei 2009, kami tiba di Stansted Airport sekitar 7.30 pagi. Eman memandu sebuah kereta manakala saya memandu Nissan Note 1.4GL yang disewa buat kali terakhir. Rakan Eman ada mengikut untuk memandu pulang kereta berkenaan.

Seperti yang dijangka, pemeriksaan keselamatan amat ketat, daripada kaunter 'check-in' ke pintu masuk balai berlepas hinggalah ke gerbang menaiki pesawat. Malah sekuriti menyuruh Nani (yang bertudung) membuka kasut untuk diperiksa.

"Muka Kak Nani macam muka teroris, kot!"; Elan berseloroh. Salahkan Osama bin Laden yang celaka!

Untuk mengalas perut, kami menikmati sandwich di sebuah restoran di balai berlepas. Saya tercangak ke sini sana cuba menghabiskan duit-duit syiling Pound Sterling dengan membeli coklat dan majalah. Syiling yang tinggal hanya akan jadi perhiasan dalam laci bila tiba di Malaysia.

Adam mula batuk tak berhenti-henti sejak tiba di Rochester semalam dan terus-menerus 'uhuk-uhuk' sepanjang penerbangan 12 jam AirAsia X pesawat D72003 dari Stansted sehinggalah tiba di Low Cost Carrier Terminal (LCCT) di Sepang.

Di dalam pesawat, borang-borang berwarna biru untuk deklarasi kesihatan diedarkan. Memandangkan dunia sedang kalut dengan sebaran wabak selsema Virus A(H1N1), semua penumpang dari negara terlibat yang mempunyai simptom sakit tekak, batuk, selsema, demam panas dan lenguh badan diwajibkan mendeklarasi keadaan kesihatan mereka.

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, saya membuat deklarasi terhadap keadaan Adam yang batuk-batuk.

Kami tiba di tanah air pada 13 Mei 2009, setengah jam lebih awal dari jadual. Sebelum melewati pemeriksaan imigresen, semua penumpang wajib melalui satu lorong yang mana hujungnya diletakkan kamera thermal yang akan memeriksa kadar suhu tubuh secara otomatik.

Seperti yang dijangka, Adam ditahan oleh pemeriksa-pemeriksa kesihatan yang siap berseragam menutup hidung. Ketika ini, Zadique, Nina dan Elan telahpun berada dalam teksi dan mereka mengetahui insiden ini hanya setelah saya menelefon dari LCCT.

Setelah hampir sejam menunggu, doktor bertugas memberitahu saya yang Adam terpaksa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan beliau mempunyai simptom yang agak banyak. Nani akan dibawa bersama menemani Adam manakala saya dan Alyssa menaiki teksi dari LCCT untuk pulang ke rumah di Bandar Sungai Long.

Sesampai di rumah, rasa cuak terhadap insiden di LCCT ditambah pula dengan 'jetlag' membuatkan saya tidak senang duduk walaupun badan terasa amat penat. Saya mula 'unpack' bagasi, mengemas dan membasuh baju sehinggalah ampaian penuh, dibantu oleh Alyssa.

Komunikasi antara saya dan Nani hanyalah melalui telefon dan SMS. Menurut Nani, sebuah ambulan tiba dua jam kemudian untuk membawa beliau dan Adam ke Hospital Sungai Buloh yang merupakan salah satu pusat rawatan kes-kes A(H1N1) dalam negara. Sebaik tiba, doktor dan kakitangan hospital siap berpakaian seperti angkasawan sedang menunggu dan mereka dibawa ke wad kuarantin.

Saya dan Alyssa menjengah Hospital Sungai Buloh di sebelah petangnya untuk membawa helaian pakaian dan barang keperluan. Tiada pelawat dibenarkan masuk ke wad kuarantin dan kami hanya boleh menyerahkan barangan tersebut kepada jururawat bertugas. Sayu melihat foto Adam yang sedang tidur di katil hospital melalui kiriman MMS dari Nani.

Malamnya saya menerima lagi SMS kiriman Nani mengatakan Adam disahkan negatif A(H1N1) dan akan dipindahkan ke wad biasa menjelang tengah malam. Malah Adam sudah boleh keluar dari hospital berkenaan pada keesokan hari. Alhamdulillah!

Esoknya, 14 Mei 2009, saya dan Alyssa menjemput Nani dan Adam di Hospital Sungai Buloh. Adam yang masih berpakaian sama sejak dari Rochester lagi kelihatan girang walau nampak keletihan. Demam dan batuknya juga sudah kebah.

Saya membawanya terus ke rumah mertua di Ampang di mana Bibiknya sedang menunggu dalam kerinduan dan keresahan setelah lebih 14 hari tak bertemu! Agenda pertama Adam tentunya mandi besen ditemani sepupunya Airyll yang sudah mula bertatih berjalan.

Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengalungkan infiniti penghargaan terhadap komitmen, profesionalisme dan daya efisien yang tinggi kesemua doktor, pegawai perubatan dan kakitangan terlibat baik di LCCT mahupun di Hospital Sungai Buloh.

Mereka dengan sabar dan ramah melayan bukan saja kerenah kami malah beratus-ratus penumpang lain (serta ahli keluarga) yang dikuarantin.

Dan kembara Eurotrip 2009 pun bernoktah di sini.

Namun siri ini BELUM berakhir!